Kazoku umum: Sentuhan Qalbu (Ikon)

Bismillahirrahmanirrahim~



"SESI FOTOGRAFI AHLI BADAM PADA 9 FEB JAM 5 PETANG DI BALAI ISLAM"



Alhamdulillah, kazoku umum telah selesai dijalankan yang dihadiri oleh pelajar muslimat IPG Kampus Dato’ Razali Ismail bertempat di Dewan Ungku Omar (DUO) pada 8 Februari lepas.



Bagi sahabat-sahabat yang tidak dapat menghadiri kazoku umum lepas, mungkin juga pelajar muslimin yang teringin hendak mengetahui apakah isi usrah umum yang telah dijalankan. Insyaallah, serba sedikit diberi bayangan tajuk serta kupasan isu. (Huraian sedikit dari video yang ditayangkan) 






Sebelum itu, jawab dahulu pertanyaan ini, 

“Apakah kita sayang kepada Rasulullah s.a.w?” 

Ya, jawapan kebanyakan kita; selaku umat Nabi Muhammad s.a.w, sewarasnya kita akan menyatakan kita menyayangi Rasulullah. Walau kita tidak pernah berjumpa Baginda, walau wajahnya kita tidak pernah tatap dek kerana terpisahnya jarak waktu yang menghalang kita. Perasaan rindu itu seakan bercambah setiap kali nama Baginda disebut-sebut. Pekerti mulianya tidak dapat kita sangkal lagi, terpilihnya Rasulullah menjadi utusan Allah di muka bumi ini menjadi rahmat buat kita semua.



Cuma;




1. Adakah kita mencintai dan mengasihi Baginda Rasulullah s.a.w melebihi cinta kita kepada yang lain?



“Tidaklah beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ibu bapanya, dan manusia seluruhnya” (Muttafaqun ‘alaih)



Seakan sukar untuk menuturkan jawapannya... Itulah kita. Manusia. Yang lebih cintakan dunia. Artis-artis dijadikan idola kepada kebanyakan anak muda kini. Pemain-pemain bola sepak disanjung-sanjung. Lupakah kalian kepada idola kita yang satu ini? 



Ini tandanya cinta dunia lekat di hati, cinta Rasulullah dipinggir pergi dari hati. Allah apatah lagi, mengenal akhirat lagi tak sudi... Sakitnya dunia pada hari ini. Yang rosak akhlak jadi pilihan ikon, idola, disanjung dan dipuja-puja. Parahnya dunia kini.




2. Adakah kita mengamalkan akhlak mulia dalam kehidupan seharian sebagaimana yang disarankan oleh Baginda s.a.w?



Betapa kita tahu bagaimana mulianya pekerti Rasulullah s.a.w. Allah telah mengutuskan Baginda untuk menyempurnakan akhlak yang mulia melalui al-Quran. Baginda telah mewasiatkan dua harta terpenting yang menjadi panduan dan bekalan kepada kita sebagai hamba Allah yang sering terleka dan terlupa. Al-Quran dan sunnah Baginda.



Sukar untuk menjadikan keduanya sebagai amalan hidup andai majalah lebih mudah dibaca daripada al-Quran, novel setebal 400 muka surat lebih menjadi keutamaan berbanding membaca sehelai muka surat al-Quran. Kita terlupa cinta kita kepada Baginda... dan terus melupakan kedua harta terpenting yang seharusnya menjadi bekalan hidup.


Amat menakutkan untuk menganalisis akhlak masyarakat kini, terpincang. Semakin berbahaya. 





3.Adakah kita mencintai Baginda s.a.w dengan memegang amanah Allah kepada kita yakni umat Nabi Muhammad?



Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari kemungkaran dan beriman kepada Allah... (Ali-Imran:110)


3 kewajipan /amanah tersebut yang kita sia-siakan;

1-menyuruh manusia berbuat baik (amar makruf)
2-mencegah manusia berbuat jahat (nahi mungkar)
3-beriman (sebenar-benar iman) kepada Allah


Malangnya kini, maksiat dipromosi di mana-mana. Itu semua sudah menjadi satu kebiasaan di pandangan mata masyarakat, seakan kita tidak punya tanggungjawab untuk melakukan sesuatu untuk menyelamatkan saudara seIslam yang lain.





4.Adakah kita sentiasa berselawat kepada Rasulullah s.a.w?



“Manusia yang bakhil (kikir) itu ialah orang yang disebut namaku disisinya tetapi dia tidak mengucapkan selawat padaku.” (Riwayat at-Tirmidzi)


Kita terlupa memuji Baginda, idola yang satu ini kita terlupa, kerana kita sibuk mengagungkan idola yang lain, juara pertandingan nyanyian, watak-watak pelakon drama di TV, etc.



p/s: Sukar nak pupuk rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah selagi dunia diletakkan di hati, akhirat dibuang ke tepi. Jangan tersalah pilih idola!






UPDATED: Sekitar majlis berlansung





Video yang ditayangkan

Kazoku Sentuhan Qalbu

Muslimat yang hadir

Selawat wehdah

Sesi testimonal

MC pada malam tersebut

Terima kasih kepada naqibah-naqibah yang telah menjayakan majlis tersebut =)





No comments: