PEMUDA. MOHON JANGAN MATI !!!!!


                                               


Bismillahi Allahu akbar.
Pemuda nazak,
Di bumi Malaysia itu,
Biasa.
Zina berleluasa,
Idola mereka entah siapa.
Allah dan rasul
Tidak tersenarai sebagai perkara utama,
Jadi bagaimana mungkin untuk mencintai sedang tidak mengenali?

Pemuda nazak,
Saat ilmu fardhu ain (tauhid, feqah dsb) menjadi hal picisan.
Ilmu fardhu kifayah (sains, sastera, bahasa dsb) menjadi agungan.


Pemuda nazak,
Bila mana hilang arah hidup.
Mudah untuk dinilai pemuda nazak.
Bila disoal apa matlamat hidup,
Kemana penghujung kehidupan?
Tenganga jawapannya.
Mungkin jawapannya dunia
Atau dipersoalkan semula.
Apa jawapan sebetulnya?


Pemuda nazak,
Tak pasti kemana mahu menyumbangkan diri,
Tak pasti apa kelebihan diri,
Tak pasti diri bermanfaat atau sekadar sampah masyarakat.
Ya! Pemuda itu rendah diri. Pemuda itu tiada jati diri!


Pemuda nazak,
Tiada sabar.
Yang bersisa hanya kata cerca dan nista.
Adab sudah tiada.
Yang tinggal hanyalah mazmumah sahaja.

Pemuda nazak,
Tenggelam dengan dunia,
Gadjet, kemewahan dan kesenangan.
Sedang pemuda lupa,
Golongan awal hidupnya bukan fokus kepada dunia.

Pemuda nazak,
Hilang hamasah (semangat)
Jika ada pun hamasah yang bersisa,
Ia hanya hamasah tanpa faham,
Yang menjebakkan pemuda kekancah bahaya,
Yang tiada redha dari-Nya.

Pemuda nazak,
Ambil mudah tentang masa,
24 jam tidak dimanfaatkan sebaiknya,
Lebih banyak mensia-siakan daripada memanfaatkan,
Isinya masa hanya untuk bersenang-senang.
Tiada langsung berfikir untuk kebahagiaan akhirat dan masa hadapan.
Oh Pemuda Nazak!
Ayuh kembali semula kepada agama!
Islam bukan tentang solat dan zakat semata.

Islam itu tentang ilmu dunia,
Islam itu tentang ilmu akhirat,
Islam itu tentang bagaimana untuk hidup bahagia,
Islam itu menjauhkan daripada bergantung hidup pada manusia.

Islam itu sempurna.
Kembalilah semula pemuda!

SUNGGUH HIDAYAH PERLU DI CARI, BUKAN DI NANTI.
MARI KITA BERHIJRAH MENJADI PEMUDA HIDUP BUKAN NAZAK HAMPIR MATI!
MOGA ALLAH REDHA DENGAN KITA

KARYA: Syafiqah Fauzi



Sumber: Buku Fityatun amanu birabbihim

Brother Lim datang lagi !!!!

[TALK SHOW BRO.LIM 2.0]
- TOGETEHER WE CARE -
Brother Lim datang lagi !!!!!!
InsyaAllah kali ini banyak topik2 yg sangat menarik akan dikupas oleh beliau. Antaranya :
>>>> ISU PALESTIN - PERBANDINGAN AGAMA - SOAL JAWAB <<<<
Ayuh warga KDRI sekaliannnn,,
SIMPAN TARIKH INI -- 20 OGOS 2014 -- RABU --
Jom pakat2 kita turun..
Sementara diberi nikmat sihat, masa dan peluang untuk ke majlis ilmu,
JOM JOM JOM
INFO TAMBAHAN:
** Gerai jualan BADAMD dan buku Bro.Lim akan diadakan (pakat2 bwa duit lebih neh ^^)


Majlis Khatam al-Quran

Alhamdulillah, dengan izinnya, pada 16 Julai 2014 bersamaan 18 Ramadhan 1435 H,  BADAMD IPG KDRI sekali lagi berjaya menganjurkan Majlis Khatam al-Quran peringkat IPG KDRI.



Majlis tersebut dimulai dengan Majlis Khatam al-Quran oleh guru pelatih muslimin.






 Kemudian majlis diteruskan dengan Ceramah dari Pengarah Urusan Sabasun Hyperuncit, Che Salmi bin Che Ibrahim. Antara isi penting ceramah beliau ialah berkaitan dengan mukjizat al-Quran dari sudut isi kandungan dan kaitannya dengan sains. 





Beliau turut menyentuh isu semasa dunia yakni isu umat Islam di Gaza. Beliau menyeru untuk memboikot barangan Israel seperti McD, Milo dan sebagainya. Majlis diakhiri dengan sedikit tahlil dan Majlis Berbuka Puasa.




  

Andai Ini Ramadhan Terakhirku

 
Gambar: DP yang direka khusus untuk bulan Ramadhan. 

"Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Sya'aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."

Seperti Si Gila Majnun yang menanti-nanti rombongan Puteri Laila melalui lorong cintanya. Begitulah juga seorang mukmin sejati pasti sentiasa menanti-nanti kedatangan bulan yang dicintai. 

Seperti yang dimaklumkan di kaca televisyen, seluruh umat Islam akan mula berpuasa pada 29 Jun 2014 (Ahad) dan ini bererti solat terawikh akan bermula pada malam Ahad selepas solat Isyak.

Esok, pasti Balai Islam Al-Muttaqin (BIAM) akan bergema dengan laungan selawat yang mengiringi solat terawikh. Seperti tahun-tahun yang lalu, bilangan rakaat yang akan dikerjakan ialah sebanyak lapan rakaat, seterusnya disusuli dengan solat witir. 

Sungguh, suatu perkara yang dinanti-nantikan. Suasana kunjungan Muslimin yang lengkap berbaju Melayu, berjubah, malah ada yang berserban, juga Muslimat dengan pakaian solatnya berpusu-pusu ke BIAM untuk mengerjakan ibadat solat terawikh secara berjemaah; pasti suasananya amat meriah. 

Marilah kita tingkatkan doa agar Allah memberi kita peluang untuk bertemu Ramadhan nanti. Dan juga, agar kita diberikan-Nya kekuatan untuk menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang bulan yang mulia itu.

Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan & Forum Khas Ihya' Ramadhan: Antara Aku dan Ramadhan


Alhamdulillah, sepertimana tahun-tahun yang lalu, Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Majlis tersebut yang turut diisi dengan Forum Khas Ihya' Ramadhan berjudul Antara Aku dan Ramadhan telah berjaya memberi pendedahan awal kepada para pendengar berkenaan Ramadhan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sedar tidak sedar, hari ini sudah masuk 25 Syaaban 1435 Hijrah dan ini bermakna beberapa hari lagi kita bakal menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak.

Seelok-eloknya, sebelum kita memasuki bulan yang penuh mulia ini, kita hendaklah memastikan diri kita lengkap dengan ilmu fiqh tentang puasa pada bulan Ramadhan, yang mungkin ada antara kita yang sudah tahu tapi terlupa atau mungkin kita ingat, namun, kita masih belum melaksanakan seperti yang sepatutnya. Tidak lupa juga, kita hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu fadhilat bulan Ramadhan agar diri memiliki keyakinan terhadap janji-janji Allah yang disediakan pada bulan ini. Dan supaya diri sentiasa berlumba-lumba untuk meningkatkan amal pada bulan yang amalan sunatnya digandakan seperti amalan fardhu dan amalan fardhu digandakan dengan 70 kali ganda.

Marilah kita sama-sama menanam azam untuk mencuba sehabis upaya bagi menjadikan bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang lalu dengan sentiasa memikirkan,

"Andai Ini Ramadhan Terakhirku"

Antara Dua Pilihan


InsyaAllah pada 29 April 2014 (Selasa),
Biro Kerohanian , Moral dan Disiplin akan menganjurkan
MALAM MUNAJAT PERDANA
yang bertajuk 'ANTARA DUA PILIHAN'.

Nantikan kemunculan
Ustaz Muhammad Syaari bin Abdul Rahman
selaku penceramah jemputan bagi majlis ini.

"Bukan PAKSAAN,hanya SERUAN 
untuk lebih MENDEKATKAN DIRI KEPADA TUHAN.."



Apa itu 'CINTA'

Bismillah.
Alhamdulillah.
Sekali lagi bertemu dalam Liqa' an-Nisa'.
Tajuk yang dipilih oleh pembentang pada hari ini ialah Apa Itu 'CINTA'???

Apa itu 'CINTA'..
Semua yang hadir berbisik-bisik sesama mereka.
Ada yang tersenyum-senyum, tak kurang juga yang termenung jauhh..



..'CINTA itu subjektif , tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan tetapi perbuatan.." kata seorang ukhti yang hadir..

"CINTA itu FITRAH, tetapi boleh menjadi FITNAH bila tidak diurus dengan baik". tambah seorang ukhti di sebelahnya.



Liqa' menjadi meriah minggu ini. Tajuk CINTA siapa yang tidak suka..
Tersenyum adik yang meng'handle'  liqa'..
Cinta itu luas,
Cinta kepada Tuhan..
Cinta kepada Rasul..
Cinta kepada Manusia..
Cinta kepada Makhluk..

Lalu cinta bagaimana yang kita perlu dan mahu.??
Pasti dan pasti semua Insan di muka bumi ini mahu Cinta yang membawa ke Syurga..
Lalu cinta yang bagaimanakah?? Cinta apakah ??

Cinta yang meletakkan Allah dan Rasulnya pada tahap yang paling tinggi..
ooo..Nampak mudah cakapnya..praktikal??? Semudah ABC kah?

"Bagaimana nak membuktikan Cinta kepada Allah ?" tanya si adik

"....cinta kepada Allah dengan ketaatan,
cinta kepada Rasul dengan keperibadian mulia,
cinta kepada jihad dengan perjuangan,
cinta kepada makhluk dengan mentaati ALLAH,
mencontohi rasul dalam berperibadi dan sentiasa hidup
dengan perjuangan yang pastinya menagih PENGORBANAN..."



Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

YES! Cinta itu BERKORBAN..
Seorang wanita sanggup berkorban maruah diri demi kekasihnya,
seorang ibu sanggup mempertaruhkan nyawa demi cinta kepada anak yang dilahirkannya,,
seorang prajurit sanggup mengorbankan nyawa demi tanah air yang dicintainya..
Lalu kita seorang hamba ?
bukti cinta seorang hamba kepada Allah, ialah sanggup berkorban harta dan nyawanya di jalan Allah..
bukti cinta kepada Allah, kita cinta Rasulullah dan ikut sunnah Rasulullah..
bukti cinta kepada Allah, patuh perintah Allah tinggal apa yang dilarang...

Lalu kita setiap hari berkumpul di Balai Islam, dan di majlis ilmu yang lain, tidak lain, tidak bukan
adalah bukti dan tanda cinta kepada Rabb Yang Maha Esa.
Kita berkorban meninggalkan empuknya tilam di asrama..
kita berkorban meninggalkan semua keseronokon yang bersifat sementara demi redha Allah semata-mata..
Mujahadah.

Subhanallah,,Liqa' an-Nisa' minggu ini nampaknya sungguh AWESOME. Liqa' diteruskan dengan sedikit
permainan..Setiap muslimat yang hadir dikehendaki mengambil sekeping kertas yang bertulis ciri-ciri bakal suami yang negatif dan positif.
Ada yang tersenyum, ada yang berkerut apabila membuka kertas bergulung tersebut.
Siapa yang suka dapat bakal suami yang perokok, malas , tidak bertanggungjawab dll.
Siapa yang tidak suka dapat bakal suami yang beragama, rajin dan amanah..
Pasti dan pasti semua mengimpikan yang baik-baik sahaja..amboi demandnya..



Bukan demand,, fitrah seorang manusia suka kepada kebaikan..
Makanya,,Nak yang baik2,, kenalah bermula dengan diri sendiri dahulu..
Diri sendiri menjadi baik.. Kata Dr Muhaya pastikan A.I.A 'settle' dahulu..
Apa A.I.A ?? Paras muka ? Duet ? err..donut ??
  • A - Aqidah
  • I  - Ibadah
  • A - Akhlak
Liqa'  hari ini diakhiri dengan bacaan doa rabitah oleh adik Basirah..
Terima kasih kepada adik2.. Basirah, Adira, Hasila, Syasya dan semua muslimat yang mengimarahkan liqa'.
Semoga Allah meningkatkan kefahaman dan meningkatkan kemampuan kita untuk beramal.
Semoga Allah menemukan kita pada liqa' akan datang..


Perayaan Tahun Baru Tamil


Pada 20 dan 21 April 2014 bertempat di Dewan Al-Farabi, Lajnah Moral Badamd telah mengadakan Sambutan Tahun Baru Tamil. Sambutan ini bertujuan bagi memperkenalkan budaya Tamil kepada warga IPG KDRI di samping mengeratkan hubungan guru pelatih tanpa mengira kaum.

Program tersebut telah dirasmikan Tuan Pengarah, Encik Ghulam Sarver bin Mubarak Ali. Majlis perasmian telah diserikan lagi dengan tarian tradisional oleh guru pelatih Semester 2.

Program tersebut diteruskan lagi pada sebelah petang dengan Pertandingan Kolum dan Demonstrasi Masakan India.


Pertandingan Kolum


Demonstrasi Masakan India

Pada keesokan harinya, Program Sambutan Tahun Baru Tamil diteruskan dengan Pertandingan Mengikat Sari dan Pertandingan Uri Adithal / Pot Breaking.

Pertandingan Breaking Pot

Pertandingan Mengikat Sari


Semoga program yang dianjurkan Lajnah Moral ini dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum dalam kalangan guru pelatih IPG KDRI.

Peneman Setia dalam Kegelapan



Pada 14 April 2014, Lajnah Usrah dan Tarbiyah dibawah naungan BADAMD telah menganjurkan sebuah ceramah mengenai peneman setia dalam kegelapan yang merujuk kepada surah al-mulk.
            Ceramah yang bertajuk Peneman Setia Dalam Kegelapan ini telah bermula pada 8.00 malam dan disertai dengan membaca surah al-mulk yang dipimpin oleh Ustaz Azree. Kehadiran guru pelatih adalah memuaskan memandangan guru pelatih semester 5  tiada di IPGKDRI kerana keluar berpraktikum di sekolah. Pihak BADAMD telah menjemput khas penceramah daripada Sekolah Rendah Mengabang Telipot iaitu Ustaz Asyraf bin Hussein.






            Dalam ceramah ini, Ustaz Asyraf telah menerangkan kepada guru pelatih mengenai kelebihan membaca surah al-mulk secara istiqamah. Antara kelebihannya ialah mencegah dari azab kubur, memberi perlindungan kepada orang yang membacanya, melindungi kita daripada syaitan dan palbagai lagi. Beliau juga memberitahu kepada guru pelatih berkenaan dengan isi kandungan yang terdapat dalam surah al-mulk iaitu tentang kekuasaan, kebesaran, serta kehebatan ALLAH TA’ALA. 




Bengkel Pengurusan Organisasi



Pada 12 April 2014, Lajnah Ekonomi dan Pembangunan BADAMD telah menganjurkan bengkel pengurusan organisasi. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal guru mengenai pengurusan organisasi merangkumi pengurusan mesyuarat, protokol, perhubungan awam serta pengucapan awam.



Bengkel ini bermula pada pukul 7.45 pagi dengan bacaan doa daripada Ustaz Faiz bin Aziz diikuti dengan ucapan daripada Encik Ghulam Sarver bin Mubarak Ali selaku pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail. Setelah selesai memberi ucapan pengarah terpaksa bergegas meninggalkan dewan kerana terdapat perkara yang perlu diuruskan. Pihak BADAMD telah menjemput penceramah khas iaitu Tuan Haji Yahaya bin Othman, Y.M Tengku Nor Faizul bin Tengku Embong, Encik Idrul Hisyam dan Puan Norzaini binti Yusof.

 
Tuan Pengarah, Encik Ghulam memberi ucapan

Dalam bengkel ini terdapat 4 slot, slot yang pertama bermula pada pukul 8.55 pagi oleh penceramah istimewa iaitu Tuan Haji Yahaya bin Othman yang berbicara mengenai pengurusan mesyuarat. Antara perkara yang beliau selitkan dalam pengurusan mesyuarat ialah jenis mesyuarat, peranan dan tanggungjawab ajk, agenda mesyuarat serta senarai semak tatacara dan pengendalian. 


Slot yang kedua pula bermula pada 10.37 pagi mengenai protokol yang dipimpin oleh Y.M Tengku Nor Faizul bin Tengku Embong. Dalam slot ini, penceramah menerangkan kepada para peserta mengenai maksud protokol, susunan keutamaan dalam protokol yang merangkumi panggilan kehormat, susunan anugerah dan bintang, susunan tempat duduk, cara berpakaian, susunan acara, pemasangan bendera dan lagu kebangsaan dan negeri.


Seterusnya, slot yang ketiga bermula pada pukul 12.15 tengah hari yang dikendalikan oleh Encik Idrul Hisham berkenaan dengan perhubungan awam. Dalam slot ini, Encik Idrul Hisham memberitahu para peserta mengenai cara komunikasi yang berkesan. Menurut beliau, hasil gabungan komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan akan membawa kepada komunikasi yang berkesan. 


Slot yang terakhir pula bermula pada 2.40 petang yang dipimpin oleh Puan Norzaini binti Yusof yang membicarakan mengenai pengucapan awam. Antara perkara yang dibangkit oleh beliau dalam slot ini ialah mengenai ciri pengucapan awam yang baik, cara memulakan ucapan serta pelbagai lagi.



 

Semoga semua peserta mendapat manfaat dari program ini. Segala kekurangan dari pihak kami harap dapat dimaafi :) 

Buddies Outing -- Bukan Sekadar 'Outing'


Alhamdulillah, tanggal 5 April 2014, hampir 50 peserta dari PPISMP Semester 2 berkumpul bersama-sama di Kuala Ibai. Program di bawah anjuran Lajnah Usrah dan Tarbiyah ini bukan sahaja disertai oleh guru pelatih Muslim bahkan bukan Muslim juga turut hadir bersama-sama. Tujuan 'Buddies Outing ini diadakan, tidak lain tidak bukan adalah bagi mengukuhkan ikatan persahabatan dan perpaduan di samping bagi meningkatkan kefahaman Islam. Program bermula seawal jam 8 pagi dengan senaman dan sarapan.


Kemudian, semua peserta dibahagikan kumpulan untuk aktiviti 'explorace'. Terdapat lima checkpoint yang mesti dilalui oleh kesemua peserta. Setiap checkpoint ini mempunyai tujuan dan matlamat yang mesti dicapai oleh setiap peserta.






Checkpoint 1 : Istana Idamanku
Checkpoint 2 : Water ohh Waterr
Checkpoint 3 : Puzzle
Checkpoint4 : Bola ku Sayang
Checkpoint Special : Friendship's light

Checkpoint terakhir merupakan kemuncak bagi program 'Buddies Outing ini. Setiap kumpulan dikehendaki untuk menyalakan sumbu. Kumpulan yang terawal menyalakan sumbu dikira pemenang. Pelbagai strategi dilakukan tapi tetap tidak dapat menyalakan sumbu tersebut. Checkpoint ini sebenarnya ingin menguji semangat setiakawan dan perpaduan. Setiap kumpulan sebenarnya mestilah bersatu padu untuk menyalakan sumbu berkenaan.


Aktivti explorace berakhir sekitar jam 12.00 pm. Majlis diteruskan dengan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh Tuan Pengarah, Encik Ghulam sarver bin Mubarak Ali. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganjuran dan menyatakan kegembiraannya menerima jemputan ini. Majlis berakhir jam 1.00 pm. Semua peserta pulang ke IPG dengan bas yang disediakan. Semoga 'Buddies Outing' ini memberi manfaat kepada semua peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana. Moga setiap yang dilaksanakan mendapat redha Allah.



******************************************************** tamat.