Andai Ini Ramadhan Terakhirku

 
Gambar: DP yang direka khusus untuk bulan Ramadhan. 

"Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Sya'aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."

Seperti Si Gila Majnun yang menanti-nanti rombongan Puteri Laila melalui lorong cintanya. Begitulah juga seorang mukmin sejati pasti sentiasa menanti-nanti kedatangan bulan yang dicintai. 

Seperti yang dimaklumkan di kaca televisyen, seluruh umat Islam akan mula berpuasa pada 29 Jun 2014 (Ahad) dan ini bererti solat terawikh akan bermula pada malam Ahad selepas solat Isyak.

Esok, pasti Balai Islam Al-Muttaqin (BIAM) akan bergema dengan laungan selawat yang mengiringi solat terawikh. Seperti tahun-tahun yang lalu, bilangan rakaat yang akan dikerjakan ialah sebanyak lapan rakaat, seterusnya disusuli dengan solat witir. 

Sungguh, suatu perkara yang dinanti-nantikan. Suasana kunjungan Muslimin yang lengkap berbaju Melayu, berjubah, malah ada yang berserban, juga Muslimat dengan pakaian solatnya berpusu-pusu ke BIAM untuk mengerjakan ibadat solat terawikh secara berjemaah; pasti suasananya amat meriah. 

Marilah kita tingkatkan doa agar Allah memberi kita peluang untuk bertemu Ramadhan nanti. Dan juga, agar kita diberikan-Nya kekuatan untuk menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang bulan yang mulia itu.

No comments: