Kita semua adalah pemimpin bagi diri
masing-masing. Tiada orang yang dapat memimpin diri kita melainkan kita
sendiri. Sebagai contoh, pada suatu ketika kita berasa malas dan lemah
semangat. Apa tindakan kita? Katakan kita berjumpa dengan pakar motivasi untuk
meyelesaikan masalah kita itu. Pakar motivasi itu, walau yang terbaik di dunia
sekalipun, mereka tetap tidak dapat menghapuskan dan melenyapkan sikap malas
dan lemah semangat kita. Dalam contoh situasi yang digambarkan di atas,
jelaslah menunjukkan bahawa, diri kita adalah pemimpin kepada kita sendiri.
Pakar motivasi ataupun orang yang di sekeliling kita adalah sebagai pembantu
dalam menyelesaikan masalah tersebut. Selebihnya adalah merupakan usaha kita
sendiri, inshaa Allah dengan keizinan daripada Dia, Yang Maha Kuasa.
Sabda Rasulullah s.a.w., “Setiap kamu adalah
pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Ketua
adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah
pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab
kepimpinannya. Seorang pembantu adalah pemimpin harta majikan dan dia akan
ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan
dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin
dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya”.
(Hadis Riwayat imam bukhori dan muslim)
Sudah terang lagi bersuluh apabila kenyataan
bahawa kita semua adalah pemimpin setelah didatangkan dengan dalil al-sunnah.
Dalam segenap aspek kehidupan, Rasulullah s.a.w
adalah contoh ikutan yang terbaik. Baginda merupakan al-quran bergerak.
Mulianya sikap Rasulullah s.a.w. Cantiknya peribadi baginda, akhlak baginda
sangat memikat hati. Tidak dinafikan ramai yang terpikat dengannya, baik kawan
mahupun lawan. Bagaimana agaknya baginda bergaul dengan sahabat? Bagaimana
agaknya beliau melayan keluarga baginda. Bagaimana, dan bagaimana? Pelbagai
persoalan yang meniti di benak kita tapi apa yang pasti adalah Rasulullah
s.a.w. adalah sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik manusia.
Sungguh kita tidak sempat bersua dengan
baginda, Rasulullah s.a.w.
Sedarlah, kitalah yang dirindui oleh baginda. Ambil sedikit masa, letakkan tangan di dada. Tarik nafas dalam-dalam dan sebut perlahan-lahan >>
Apa yang kita dapat rasa? Nak tahu, cubalah alaminya
sendiri. Berbaloi-baloi.
Sebagai umat Islam, kita mestilah menjadikan
baginda Rasulullah s.a.w sebagai ikutan.
Dalam soal kepimpinan, Islam menjelaskan bahawa
ia bukanlah kemuliaan yang dikejar, tetapi ia merupakan amanah yang mesti
ditunaikan.
Berbalik kepada perbincangan utama, iaitu soal
kepimpinan. Dalam kepimpinan, Islam menjelaskan bahawa ia bukanlah satu
kemuliaan yang dikejar, sebaliknya ia adalah amanah yang mesti dilaksanakan dan
akan dipersoalkan di akhirat nanti.
Kepimpinan bukanlah satu kedudukan yang perlu
direbut, tetapi ia adalah amanah yang perlu dipikul oleh mereka yang layak dan
mampu melaksanakannya dengan baik. Jika seseorang menguasai tampuk kepimpinan
melalui jalan yang salah seperti berbohong dan melakukan rasuah, sedangkan
sebenarnya dia tidak layak, sesungguhnya di akhir hidupnya, dia akan menyesal
akibat perbuatan yang buruk itu.
Sesungguhnya, pemilihan dalam membawa
risalah-risalah yang agung bukanlah berdasarkan kepada impian dan cita-cita
seseorang. Sebaliknya ia berdasarkan kepada kemampuan untuk memikulnya.
Betapa ramai dalam kehidupan ini, orang
besar keinginan, tetapi tidak memiliki apa-apa kecuali keberanian untuk
bercita-cita sahaja. Betapa ramai pula orang yang mantap dan berpotensi, tetapi
tidak menonjolkan diri kerana lebih suka berdiam diri sehingga apabila diberi
tugas, mereka dapat menghasilkan kerja yang sangat mengagumkan.
Tidak sesiapa yang mengetahui tahap keupayaan
manusia kecuali Pencipta-Nya. Tuhan yang mahu memberi hidayah kepada seluruh
alam, memilih satu jiwa yang agung untuk matlamat yang agung tersebut.
Sedarilah, kita adalah pemimpin. Sematkan
dalam diri sendiri, dan bisikkan pada diri ‘Sebenarnya Saya ini Pemimpin!’
Salam demam Pilihanraya Kampus. Buatlah
pilihan yang terbaik untuk ‘memangkah’ pada esok hari... :)
1 comment:
pemimpin pastinya akan silih berganti, namun matlamat dan penerusan gerak kerja tetap perlu diteruskan..
Post a Comment