Yang Dipertua BADAM: 'Ustazah Pilihan' Mengundang Fitnah?

Muhammad Razif bin Nawi
Yang Dipertua BADAM









Terbaru, satu program realiti TV diperkenalkan oleh Astro Oasis yang berjudul “ Ustazah Pilihan” yang akan memaparkan pencarian muslimah sejati merangkumi segala aspek kehidupan seperti pendidik, pembimbing dan pemimpin kaum wanita dalam masyarakat. Menerusi Ustazah Pilihan, 10 peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi meneruskan pembelajaran amali dan praktikal yang diperlukan sepanjang lapan minggu di akademi, yang bertujuan memantapkan pengetahuan dari aspek keagamaan, hal ehwal teknologi, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan. Mereka akan diberikan tugasan tertentu sepanjang minggu berlandaskan format kitaran kehidupan yang membabitkan isu semasa berkaitan wanita manakala pendekatan yang digunakan pula harus relevan dengan realiti wanita zaman kini, malah markah diberikan bersandarkan kedua-dua kerja iaitu hasil kerja kumpulan serta kesungguhan individu itu sendiri.

Hari ini, rancangan-rancangan televisyen yang berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia khususnya umat Islam. Bukan sahaja industri lakonan yang semakin rancak dengan penghasilan filem dan drama berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan bahkan personaliti-personaliti seni turut sama mula kembali ke jalan fitrah. Kita lihat bagaimana satu anjakan paradigma berlaku dalam hidup beberapa personaliti TV seperti Malek Nor, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Irma Hasmie dan Catriona Ross. Malah antara yang paling mengejutkan ialah dengan kehadiran kumpulan Al-Mawlid yang terdiri daripada bekas anggota tiga kumpulan penyanyi urban terkenal iaitu Ruffedge, VE dan Innuendo yang kini beralih ke lagu-lagu berbentuk kerohanian. 

Penghijrahan personaliti-personaliti terkenal tanah air diterima baik oleh masyarakat. Kita sememangnya mengharapkan nilai-nilai Islam diterapkan dalam segala aspek kehidupan termasuk dalam aspek hiburan seperti ini. Tambahan pula, realiti hari ini memperlihatkan bagaimana industri hiburan menjadi pengaruh besar kepada pemikiran dan perilaku kebanyakan masyarakat lebih-lebih lagi anak muda. Perkembangan ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Islam lain untuk mencontohi nilai-nilai Islam yang ditunjukkan. 

Lantas, apabila pertama kali mendengar hebahan Ustazah Pilihan, rasa begitu teruja untuk menonton rancangan tersebut. Title “Ustazah Pilihan” pasti menjanjikan ikon wanita muslim yang memiliki ciri-ciri pilihan seperti berilmu, berakhlak tinggi, bijak, petah berbicara dan ciri-ciri tambahan lain yang bakal melayakkan seseorang itu menjadi “Ustazah Pilihan”. Sudah terbayang di fikiran bagaimana ramainya nanti muslimah di luar sana yang akan menjadi penonton dan peminat setia rancangan Ustazah Pilihan. Pasti akan ramai juga jejaka-jejaka di luar sana turut teruja dan setia menonton wanita-wanita muslim peserta Ustazah Pilihan. Jika rancangan Imam Muda mendapat sambutan hangat daripada masyarakat muslim khususnya anak muda, saya yakin dan percaya rancangan Ustazah Pilihan akan mendapat sambutan yang jauh lebih hangat. 


Pendekatan dakwah dengan memperkenalkan program Ustazah Pilihan merupakan satu alternatif yang pada awalnya dilihat mampu memberi manfaat kepada penontonnya. Pasti akan ada penonton-penonton wanita yang mula menjadikan peserta-peserta Ustazah Pilihan sebagai idola mereka, mencontohi peribadi mereka dan mula memasang angan-angan mahu menjadi seperti mereka! Tidak kurang pula penonton-penonton dari kaum Adam, pasti akan ada yang bercita-cita mahukan pasangan hidup yang mempunyai ciri-ciri seperti peserta-peserta Ustazah Pilihan yang mana antara kelayakan mereka menjadi peserta ialah berkebolehan dalam komunikasi, berilmu, berpegang kukuh kepada agama, berdaya fikir tinggi serta matang.

Jika diberi pilihan sama ada untuk membiarkan masyarakat khususnya anak-anak muda menonton rancangan Akademi Fantasia atau Ustazah Pilihan, sudah tentu kami memilih Ustazah Pilihan!

Namun begitu, jika dilihat dari satu sudut pandang yang lain, kami cukup bimbang sekiranya perlaksanaan program Ustazah Pilihan nanti tidak selari dengan syariat yang Islam tetapkan. Teori selalunya lebih mudah berbanding praktikal. Walaupun pihak penganjur mengatakan bahawa program ini akan berpaksikan hukum syarak namun sejauh mana hal ini terjamin sepanjang perlaksanaan nanti yang pastinya setiap perkara akan datang bersama ujian dan cabaran. 

Kami mula mempersoalkan bagaimana agaknya penampilan peserta-peserta Ustazah Pilihan nanti. Kalau peserta Imam Muda tampil dengan imej segak dan menarik, apatah lagi kaum Hawa. Adakah wanita-wanita yang bakal menghiasi pentas Ustazah Pilihan akan berpakaian menarik walaupun menutup aurat? Yakinkah kita tidak akan terjadinya tabarruj iaitu berhias untuk memperlihatkan perhiasan badannya (mekap/gaya tudung)? Tidakkah program seperti ini secara tidak langsung akan mempertontonkan personaliti wanita? Di mana pula perasaan malu seorang wanita apabila dipertontonkan di khalayak ramai untuk dinilai, disebut-sebut kelebihannya malah dipertandingkan peribadinya sedangkan istimewanya seorang wanita itu pada sifat malunya. 

Adapun bila menyebut soal kecantikan, pasti akan ada penonton rancangan Ustazah Pilihan yang memandang kepada kecantikan peserta lebih-lebih lagi penonton lelaki. Terjaminkah peserta-peserta Ustazah Pilihan tidak akan dipandang dan memandang? Sudah tentu tidak. Dan yang paling menjadi kebimbangan ialah apabila memikirkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar yang dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim). Tidak akan tergugatkah iman kaum Adam walaupun sedikit apabila memandang peserta-peserta Ustazah Pilihan yang berkemungkinan menjadi idaman penonton-penonton lelaki kelak? Layakkah wanita-wanita yang menjadi tontonan lelaki, yang namanya sering meniti di bibir lelaki malah yang mungkin menjadi khayalan lelaki diangkat menjadi “Ustazah Pilihan”?? Sedangkan kita tahu wanita yang baik tidak dipandang dan tidak memandang.
“Ustazah Pilihan” yang sebenar menurut pandangan kami bukanlah wanita yang hanya memiliki ilmu yang tinggi dan bakat yang luar biasa tetapi adalah wanita yang teguh aqidahnya, istiqamah ibadahnya dan mulia akhlaknya. Sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan: Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad). 

Kami suka untuk mengambil pendekatan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Kami melihat lebih banyak mudarat (keburukan) daripada maslahat (kebaikan) yang mungkin timbul daripada program Ustazah Pilihan. Banyak lagi pendekatan dakwah yang kita boleh ambil selain daripada mempertontonkan wanita kepada umum. Jika pihak penganjur masih berhajat mahu membentuk ikon pendakwah wanita melalui landasan akademik seperti ini, kami mencadangkan agar ia dijalankan secara tertutup dan tidak bersifat pertandingan. Islam memuliakan dan menghormati wanita, maka layanilah mereka dengan adil dan benar. 

Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah" (Hadis Riwayat Muslim)

( Penulis : Syahirah Zulkifli )

Saya ingin memberi sedikit respon dan pandangan saya terhadap tulisan ini berkaitan program “ Ustazah Pilihan “. Pada pendapat saya apa yang diperkatakan oleh saudari Syahirah ini adalah betul dan sangat bertepatan dengan apa yang islam inginkan. Betul, tak dinafikan program ini secara tidak langsung memberikan satu model kepada masyarakat terutama wanita-wanita untuk mereka contohi sikap dan peribadi mereka yang baik.  Namun bagi saya, cara yang dipilih ini adalah tidak sesuai kerana ia lebih kepada mudharat berbanding kebaikan. Dalam kaedah fiqh terdapat satu kaedah yang di panggil ‘ Saddu al-Zarai` ‘ iaitu menutup pintu kerosakan atau keburukan. Jika kita lihat realiti rancangan televisyen hari ini ia akan menjadi tontonan umum tidak kira wanita, kanak-kanak mahupun lelaki. Oleh begitu, tidak dapat tidak ustazah-ustazah yang terpilih bagi program ini sudah pasti akan ditonton oleh penonton lelaki diseluruh Malaysia. Keadaan ini sudah pasti menyebabkan ustazah-ustazah akan menjadi tontonan bagi memuaskan nafsu lelaki walaupun ustazah dalam rancangan yang dijenamai dengan jenama rancangan islam. Jadi, saya merasakan program ini adalah tidak sesuai untuk diketengahkan kepada umum. Jika betul-betul ingin menjayakan program ini pastikan ia adalah secara tertutup hanya ditonton oleh kanak-kanak dan wanita sahaja. Ini barulah dapat mengelakkan fitnah dan maksiat yang kita sendiri tidak sedari.  

Untuk lebih menyokong pandangan dan pendapat saya ini, bolehlah rujuk dalil-dalil yang saya ketengahkan ini. Semoga apa yang kita lakukan ini biarlah baik dan terlaksana dengan cara yang baik dan diredhai oleh Allah swt serta jauh dari fitnah dan maksiat. Antara dalil-dalil yang ada ialah:

1) Al-Quran :

“dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(An-Nuur:31)

2) Hadith

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita."
(Riwayat Al-Bukhari)

3) Pendapat Ahl-Bait : Saidatina Fatimah,
"Perempuan yang baik itu adalah yang tidak memandang dan tidak dipandang"
--yakni selain mahramnya---

Jadi, Fitnah wanita pada hati lelaki, secara umumnya...:
1. Senyuman wanita
2. Suara Wanita (nada)
3. Lenggok jalan

Sekadar ini penulisan saya buat kali ini, jika ada sebarang idea atau pendapat bolehlah kita duduk bersama dan berbincang dengan baik. Insya Allah, Wallahu`aalam.

4 comments:

i luv Allah said...

setuju..

Raudhah As-Sakinah said...

benar.. smoga semua umat ISLAM prihatin tentang hal ini..

api_islam said...

semoga setiap pe yang kita buat mengikut landsan agama dan mendpt redha Allah swt..insya Allah..

adilah said...

sy agak keliru,wanita jd tv presenter ttp haram walaupun tutup aurat..