Bismillahirrahmanirrahim~
“Tapi ustaz, susah untuk saya survive. Kami di Jepun selalu menyewa
bilik sendirian”, keluh seorang muslimah di Jepun.
Saya memahaminya.
Dalam suasana pembelajaran di negara asing, sering terjadi pelajar tercampak
ke suasana yang tiada persekitaraan solehah untuk menyokong iman. Tiada solat
berjemaah, tiada makan bersama-sama, tidak mendengar suara muazzin membesarkan
Allah di udara… segalanya itu mengundang kosong di dalam diri.
Suasana itu sahaja pun sudah cukup untuk menimbulkan faktor tekanan dan
kemurungan.
DUNIA ASING
Keadaan seperti itu membimbangkan saya yang lama berada di tengah-tengah
masyarakat pelajar. Mereka diakses kualiti intelektual untuk melayakkan diri
menerima penajaan belajar di negara asing, tetapi penekanan kualiti emosi masih
ketinggalan. Apatah lagi dengan pendekatan yang membelakangkan kualiti
spiritual sebagai sumber kekuatan utama.
“Justeru awak memonyokkan muka sepanjang masa?”, saya membalas dengan
pertanyaan.Muslimah itu mendiamkan diri seketika.
“Inilah yang sering saya pesankan terutamanya kepada mahasiswi seperti
ukhti. Mengapa selepas mendapat kesedaran Islam, kamu semua suka bersedih?”,
saya menyambung perkongsian.Memang benar, jalan Islam itu penuh rintangan.
Tiada karpet merah, tiada bunga manggar atau kelopak potpuri yang
mengiringinya. Justeru jalan itu bukan jalan indah seperti yang diinginkan.
Tetapi keindahan ialah terjemahan perasaan hati, bukannya sekadar ilusi
pandangan mata.
Dakwah Nabi SAW yang sangat manusiawi, ceria dan ada gurau senda itu indah
dibaca, dan keindahannya tidak pernah datang dari faktor-faktor sampingan itu.
Ceria atau tidak, adalah kualiti manusia. Kualiti hatinya.
Mengapa kerana mengikut Sunnah, kalian hilang ceria?
TIDAK MUDAH
Tidak mudah untuk seorang pelajar yang melakukan transisi dari ‘alam
jahiliah’ ke ‘alam Islam’ untuk menyesuaikan diri mereka.Suasana itu akan jadi lebih menekan apabila kita hidup di tengah-tengah masyarakat
Jepun yang umumnya dikaitkan dengan budaya “MOKUNIN” yang sering menjadi mimpi
ngeri warga asing di sana. Mokunin itu adalah suatu sikap ‘tidak mahu masuk
campur’ yang bukan sahaja disengajakan, malah dilakukan secara
bersungguh-sungguh oleh orang Jepun kerana tidak mahu terjebak di dalam masalah
orang lain.Kemurungan yang dialami akan menjadi lebih teruk apabila pelajar muslim dan
muslimah kita tidak mendapat saluran sokongan diri.
LELAKI VS PEREMPUAN
Jika mahasiswa yang lelaki, mungkin perubahan diri itu tidak begitu
menonjolkan kelainan. Dia boleh terus berpakaian seperti sebelumnya, rambutnya
masih boleh terus disikat mengikut gaya sebelumnya. Dia juga tidak pernah
dituntut untuk menukar ‘aku engkau’ kepada ‘ana anta’ sebagaimana tiada siapa yang
pernah memaksanya berhijrah kepada ‘I you’.
Berbeza sekali dengan yang perempuan.
Kesedaran Islam membawanya kepada perubahan yang tertonjol secara ‘full
display’. Daripada tidak bertudung kepada bertudung. Daripada memakai
tshirt lengan pendek, kepada bersarung lengan atau terus meninggalkan tshirt.
Dan jika kesedarannya terhadap Islam diiringi dengan kesedaran terhadap
tanggungjawab dakwah, tudung dan bajunya juga selalu mengalami transisi. Dari
ikan bawal kepada ikan pari, dari tiga segi kepada bulat menutup diri.
Perubahan itu secara rela atau paksa, terpaksa berdepan dengan ‘garis
pemisah’, menonjolkan dirinya yang baru.
“Sebab itulah ustaz, saya tak nak ubah pakaian saya. Lebih selesa kekal
begini”, jawab muslimah itu di dalam sesi dialog kasual saya dengan peserta
Muslimah.
“Saya faham. Tetapi pakaian tetap akhirnya menjadi faktor sekunder kepada
mesej dakwah awak”, jawab saya.
PAKAIAN ITU SEKUNDER
Tidak dinafikan, perbezaan pakaian akan memberikan impression yang
berbeza. Jika dahulunya kita Minah Jeans, tetapi tiba-tiba berjubah dan
bertudung besar, tentu sahaja circle teman-teman sebelum hijrah akan
berasa kekok. Semacam ada barrier yang memisahkan.
Maka faktor pakaian memang ada peranannya.
Namun pakaian yang diubah suai tetap sekunder, dan bukan faktor utama.
Teringat saya kepada rakan-rakan yang mengikuti Jemaah al-Arqam pada era pertengahan 90an dulu. Mereka yang membina imej tersendiri dengan lelaki yang berjubah dan berserban khusus, serta muslimat mereka yang berjubah dan berpurdah, menjadikan kehadiran mereka sentiasa unik lalu tertonjol. Tetapi apabila al-Arqam diharamkan pada akhir 1993, mereka mencuba beberapa idea dari segi berpakaian untuk menyesuaikan diri dengan fenomena baru itu.
Bermula dengan menukar warna Jubah dari yang gelap kepada jubah dan serban
putih di kalangan muslimin, hinggalah kepada kemudiannya berbaju batik dan
bersongkok untuk mengubah konotasi pakaian mereka. Namun apa yang lebih
mengejutkan saya ialah apabila muslimat mereka mengubah warna jubah dan purdah
dari hitam, kelabu, perang tua yang dianggap sebagai suatu pemencilan, kepada
warna merah, kuning terang, merah jambu, hijau terang…. sungguh flamboyan!
Hanya mereka yang tahu apakah motif perubahan itu.Tetapi jika penukaran warna dari hitam kelabu kepada merah dan ungu, adalah
untuk menghapuskan elemen pemencelin, saya merasakan ia sebagai suatu
pemencilan baru yang lebih daring dan membina barrier yang
lain pula. Justeru, akhirnya kita kembali kepada asas manusia, bahawa kita saling
berhubung dengan kelakuan dan perbuatan. Dengan akhlaq.
AKHLAK PENENTU
Jika kita mengekalkan pakaian yang sama dengan ‘kawan lama’ sekali pun,
tetapi jika kelakuan kita berubah, maka berubahlah kita. Masih berpakaian
serupa tetapi dingin, hilang kemesraan, sentiasa bermasam muka dan berkerut
dahi kerana kononnya menanggung masalah umat, sudah tentu kita akan tetap
menjadi orang asing. Pakaian tidak lagi membantu.
Akan tetapi, jika kita memilih jubah dan tudung labuh sekali pun, namun
kekal dengan sikap ramah tamah, mesra, ikhlas dalam bersahabat, dan ceria
selalu, maka mad’u tidak lagi terperangkap di dalam pandangannya kepada pakaian
kita, kerana telah diruntuhkan oleh kelakuan yang menyenangkan.
Justeru, ceria-cerialah wahai dai’e! Jangan bermasam muka, bermuram durja.
Mengapa selepas kalian mengenal Islam, wajah berubah menjadi mendung?
Mengapa asyik menangis hingga kesedaran Islam kamu ditafsirkan oleh ayah atau
ibu sebagai suatu ‘penderaan emosi’? Anak yang dahulunya tidak bertudung, ceria
bersama keluarga dan boleh bergurau senda bersama, mengapa selepas ‘mendapat
Islam’ dan bertudung, berubah menjadi penyedih, asyik menangis dan sentiasa
tertekan?
Islam apakah yang kamu anuti hingga menjadikan kamu begitu?
“Jangan kamu perkecilkan sesuatu
yang ma’ruf walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria”
(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi di dalam Syi’ab al-Iman)
Senyum dan ceria-cerialah tatkala berurusan dengan manusia, menangislah
semasa bersunyi-sunyian bersama Dia.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
No comments:
Post a Comment