Giliran Bashar al-Assad Semakin Hampir

Bismillah.

OLEH: DR. ZAINUR RASHID ZAINUDDIN

Syria, anda peduli?

Sama ada disengajakan atau tidak, tidak ramai daripada rakyat Malaysia yang mengetahui atau mengambil tahu tentang keadaan yang sedang berlaku di Syria sekarang. Presiden Bashar al-Assad (Presiden sekarang) telah bertindak semakin kejam bagi memastikan kekuasaan yang diwarisi oleh ayahnya, Hafez al Asad sejak 11 tahun yang lalu terus berkekalan.


Sejak berlakunya kebangkitan rakyat Syria Mac 2011, Bashar al-Assad telah membunuh lebih 8,500 orang rakyatnya sendiri (lebih 6,000 menurut Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu) dan mengakibatkan lebih 40,000 orang telah cedera. Itu tidak termasuk daripada lebih 180,000 orang rakyatnya yang dipenjarakan. Manakala lebih 20,000 orang lagi kini menjadi pelarian di Turki.


Beliau mewarisi kekejaman diktator seumpama ayahnya Hafez al Assad yang pernah memerintah Syria selama 32 tahun sehingga tahun 2001. Ayahandanya juga pernah membunuh hampir 46,000 ribu orang rakyatnya yang tinggal di Hama, Syria pada tahun 1982 dalam tempoh 27 hari sahaja. Keseluruhan penduduk yang terbunuh ini merupakan penganut Ahlus-Sunnah Wal Jama'ah.


Masyarakat antarabangsa harus menginsafi isu ini dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Bashar al Assad yang terus mendapat sokongan padu daripada Iran dan juga Hizbullah, Lubnan selain daripada mendapat bekalan senjata daripada Rusia dan China.


Gilirannya akan tiba jua

Saya yakin bahawa giliran untuk Bashar al Assad akan tiba seperti mana sekutu-sekutunya yang digulingkan sebelum ini, seumpama Presiden Zainal Abidin Ali di Tunisia, Gaddafi di Libya dan juga Presiden Hosni Mubarak di Mesir.

Saidina Ali bin Abi Talib R.A pernah berkata:
"Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah yang benar kekal selamanya."

Malahan kata-kata Saidina Ali R.A itu bertepatan dengan firman Allah S.W.T di dalam surah al-Israa' ayat 81 yang bermaksud:

"Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap."

Teruskan ambil peduli dan doakan untuk saudara seaqidahmu di Syria.



Bacaan tambahan

http://edition.cnn.com/2011/12/16/world/meast/syria-homs-profile/?hpt=hp_t1
http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28997
http://www.turkishweekly.net/news/130969/syrian-muslim-brotherhood-secretary-general-al-shaqfa-we-don-39-t-trust-hezbollah-and-reject-iranian-offers-.html
http://www.aljazeera.com/indepth/opinion/2012/02/201226621170425.html
http://www.google.com/hostednews/ap/article/ALeqM5geQ2GFxLRPq3XwS51daLwGyMffZQ?docId=34b0a3082b2347c98bd4d896006c0d8b
http://www.montrealgazette.com/news/Loss+time+means+loss+lives/6120654/story.html


Andai saudara dan saudari mahu menyelami sendiri keadaan di Syria, boleh cuba melawat Syria dan memahami permasalahan sebenar yang berlaku di bumi Syam ini.

sumber: zainurrashid.com

Nota mengingati mati: Talkin untuk diri

Bismillah. Assalamualaikum wbt :)

“Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya.” Bahkan, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna juga pernah menyebut: “Orang yang bijak adalah orang yang mengolah seni kematiannya.”

kehidupan yang amat singkat

Maha suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa. Maha suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Maha suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.



Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Maha besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.



Wahai (nama diri sendiri) , hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.



Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.



Ingatlah wahai (nama diri sendiri), apabila datang kepada kamu 2 malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.



Ketahuilah wahai (nama diri sendiri), bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.



Apabila mereka menundukkan kamu dan menyoal kamu.



Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?


Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah takut dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.



Hendaklah kau jawab dengan fasih apabila ditanya untuk pertama, kedua dan terakhirnya kalinya.



Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah
Muhammaddur rasulullah".



Wahai (nama diri sendiri), tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.



Insaflah wahai (nama diri sendiri), bahawa mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawa hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur. Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.



Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.



Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.