Bahagia duniawi vs Bahagia ukhrawi

Bismillahirrahmanirrahim~ 


Assalamualaikum wbt salam penuh mahabbah buat semua. Alhamdulillah seinfiniti kesyukuran dirafakkan buat Pencipta yang Maha Agung lagi Maha Kuasa. Dengan rahmat dan kasih dariNya, kita masih lagi kekal dalam nikmat teragung iaitu nikmat iman dan Islam yang tiada gantinya. 

Kebahagiaan sejati. 

Sejauh manakah kita melihat makna kebahagiaan itu? Apakah sebenarnya bahagia? Adakah dengan dapat menikmati juadah yang sedap lagi menyelerakan dikatakan satu kebahagiaan? Adakah dikatakan kehidupan mewah yang serba lengkap dikatakan bahagia? Atau adakah dengan timbunan wang yang melebihi segala keperluan yang dikatakan sebagai bahagia? 

Atau, Adakah ketenangan yang dirasai di sudut hati itu merupakan satu kebahagiaan? Walau dalam keadaan tiada juadah yang menyelerakan, atau tanpa kehidupan yang penuh kemewahan mahupun tanpa wang yang bertimbunan? Walau dalam keadaan penuh kesibukan dengan kerja di keliling pinggang? 

Apakah sebenarnya bahagia? Bagaimanakah untuk meraih bahagia? 

Kunci Kebahagiaan. 

Ingin saya berkongsi sedikit isi daripada buku La Tahzan (Jangan Bersedih) karangan Dr. ‘Ayidh bin ‘Abdullah al-Qarni, 

Jika anda mengenal Allah, mensucikanNya, beribadah kepadaNya dan menempatkanNya sebagai Tuhan sementara anda berada di dalam sebuah pondok, nescaya anda akan mendapatkan kebaikan, kebahagiaan, ketenangan dan rasa damai. 

Namun jika anda menyimpang, walaupun tinggal di dalam istana yang paling megah, di rumah yang paling luas dan memiliki semua yang anda sukai maka ketahuilah bawah akhir kehidupan adalah pahit sekali dan dalam erti yang sebenarnya, penderitaan. Dan, itu bererti bahawa anda masih belum memiliki kunci kebahagiaan. 

Ukuran kebahagiaan itu ada dalam kitab Allah yang agung, takaran dari segala sesuatu itu ada dalam kualiti zikir kepada Yang Maha Bijaksana. Dialah yang menetapkan segala sesuatu, nilai dan balasanNya kepada hamba, baik ketika masih di dunia mahupun di akhirat kelak. Firman Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 33 hingga 35 yang bermaksud, 

“Dan sekiranya bukan kerana menghindarkan manusia menjadi umat yang satu (dalam kekafiran), tentulah sudah Kami buatkan bagi orang-orang kafir kepada (Allah) Yang Maha Pengasih, loteng-loteng rumah mereka daripada perak, demikian pula tangga-tanga yang mereka naiki, dan (Kami buatkan pula) pintu-pintu (perak) bagi rumah-rumah mereka dan (begitu pula) dipan-dipan tempat mereka bersnadar, dan (Kami buatkan pula) perhiasan-perhiasan daripada emas. Dan semuanya itu tidak lain hanyalah kesenangan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat di sisi Tuhanmu disediakan bagi orang-orang yang bertakwa” 


Ketika Umar r.a memasuki rumah Rasulullah saw, baginda sedang berada di tempat minumnya. Dilihatnya kesan-kesan bekas tikar di belakang baginda dan hanya ada karung gandum yang tergantung di rumahnya. Tanpa disedari, air mata mengalir membasahi pipi Umar. Sebuah pemandangan yang sangat menyentuh perasaannya kerana saat itu baginda Rasulullah saw adalah seorang teladan dan pemimpin bagi seluruh umat manusia, tetapi hidup dalam keadaan yang sederhana seperti ini. Tercetus ucapan dari bibirnya, “Wahai Rasulullah saw, engkau telah mengetahui pola hidup Kisra dan Kaisar.” Rasulullah saw menjawab, “Wahai Ibnu al-Khattab, apakah engkau masih meragukanku. Tidakkah engkau redha jika kesenangan akhirat menjadi milik kita, sedang mereka hanya memperoleh kesenangan dunia.” 


Firman Allah dalam surah Hud ayat 15 dan 16:

“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” 

Bahagia duniawi vs bahagia ukhrawi. Buat sidang pembaca, Sama-sama kita renungkan. Bahagia manakah yang menjadi sasaran kita? Adakah bahagia dunia yang sementara atau bahagia akhirat yang kekal selamanya? Sanggupkah kita menggadaikan harga sebuah bahagia hakiki dengan hanya bahagia duniawi? Dan sejauh manakah telah kita usaha demi bahagia sebenar yang dicari? 


Bahawa bukan kesenangan dunia itu bahagia dan bukan kepayahan dalam mencari akhirat itu derita. Wallahu’alam.

No comments: