Siyam ataupun puasa dalam bahasa Melayu bermaksud
menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dalam
waktu yang ditetapkan. Dari segi makan minum, perbezaan bulan Ramadan dibandingkan
selainnya ialah bulan Ramadan muslim dilarang makan dan minum serta
perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Ertinya, syiar ataupun suasana
Ramadan bukanlah suasana pesta makan, sebaliknya ia adalah suasana muslim tidak
makan melainkan hanya pada waktu malam. Namun, keadaan yang sebaliknya
kadang-kala berlaku dalam kehidupan kita dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Jika seseorang bukan muslim yang tidak tahu menahu tentang Ramadan, datang ke
negara kita dan melihat kemeriahan makan dan minum yang wujud, lalu kita
memberitahu dia bahawa ini bulan puasa bagi muslim, tentu sukar dia
mempercayainya. Ertinya, dia akan gagal melihat suasana puasa yang sebenar.
Jangan Berlebihan
“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-`Araf:31).
Moga semangat ataupun roh Ramadan ini dapat dibawa ke dalam amalan hidup kita. Kita cuba menahan diri dari melakukan larangan Tuhan, sekalipun kita mampu. Bukan kerana tidak berpeluang tetapi kerana roh yang dididik dan nafsu yang ditundukkan. Demikian juga agar kita tidak berlebihan ataupun melampaui batasan yang patut dalam sesuatu perkara. Tidak fanatik. Tidak berlebihan menghukum pihak yang berbeza. Tidak berlebihan dalam kemewahan. Tidak berlebihan dalam hiburan dan seterusnya.
Jangan Bid’ah
Demikianlah sepatutnya roh ini dihayati dalam ibadah yang lain agar kekal cara yang asal yang ditunjukkan Nabi s.a.w. Sehingga baginda Nabi s.a.w mengingatkan kepada mereka yang ingin beribadah melebihi kadar yang baginda tunjukkan bahawa dia akan terkeluar dari menjadi pengikut baginda. Lihat reaksi Nabi s.a.w kepada mereka yang berkata:
“Adapun aku, maka akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang lain lagi: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya.” Maka Rasulullah s.a.w datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepadaNya dalam kalangan kamu. Namun, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat al-Bukhari).
Jaga Pahala
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).
No comments:
Post a Comment