Agama: Ramadhan – Bulan Kerehatan


Kerehatan yang dimaksudkan disini bukanlah kerehatan yang sering kita gambarkan. Berehat tanpa melakukan apa-apa atau bercuti ke mana-mana destinasi. Tetapi kerehatan di sini adalah kerehatan rohani (jiwa) mengabdikan sepenuhnya pada ILahi daripada kesesakan dunia.
Bagi manusia biasa mereka menganggap ramadhan sebagai bulan puasa. Tiada yang istimewa. Sekadar berputar masa lalu pergi begitu sahaja. Berlainan pula bagi pencinta ibadah mengambil ia sebagai peluang untuk  mereka mempertingkatkan amalan.

Pengabdian diri pada Allah, arah keluar dari masalah
Manusia sering kali resah. Acapkali gundah. Banyak masalah-masalah yang bertimbunan yang perlu diselesaikan. Bagai jatuh ditimpa tangga. Namun bagi orang yang beriman, ia bukan suatu kesusahan bahkan ianya peluang mendekati diri pada Rabbnya. Bahkan merasa senantiasa bahawa Allah itu dekat malah lebih dekat daripada yang lain untuk mendengar doanya.
Oleh itu, bersempena Ramadhan yang mulia, Allah membuka peluang itu seluas-luasnya bagi mendekatkan diri hamba pada tuannya. Di siang hari berpuasa, di malam hari pula disunatkan untuk bersolat tarawikh. Seperti hadis baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkata:
“Rasulullah s.a.w inign melaksanakan qiam dalam bulan Ramadhan tanpa memerintahkannya kepada mereka (para sahabat) secara wajib. Baginda bersabda: ‘Barangsiapa melakukan qiyam ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala maka diampunkan untuknya apa yang telah berlalu dari dosanya”. (riwayat Muslim)
Asal dari makna tarawikh itu adalah kerehatan . Setelah berhempas pulas melaksanakan ibadah puasa, maka tiba waktu malam untuk merehatkan diri dan juga hati dari kesibukan dunia dengan mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah kerehatan sebenar di dunia. Adapun kerehatan yang kekal abadi hanyalah di alam barzakh sana bila tiba masanya kerana hakikat seorang hamba tidak pernah selesai dalam melakukan kerja-kerja untuk menegakkan deen-Nya.

Sunat vs Wajib
Tarawikh atau berehat dinamakan kerana setiap kali selepas empat rakaat akan berhenti rehat sementara. Tetapi perlaksanaannya adalah dua rakaat beserta salam hingga tamat bilangan rakaat. Selain itu, dinamakan tarawikh juga bermaksud berulang-ulang dalam perbuatan tersebut. Dari sudut waktu melaksanakannya ialah selepas fardu isya’ hinggalah terbit fajar. Tambahan, menurut Dr Wahbah Zuhaili dalam  kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu menyatakan makruh tarawikh diselangi dengan solat sunat yang lain melainkan tawaf sunat.
Walaupun ibadah tarawikh hanyalah sunat, tetapi ia amat dituntut (muakkad) kerana tarawikhlah yang membezakan ia dengan bulan-bulan islam yang lain di mana manusia boleh melakukannya mengikut keselesaan masing-masing sama ada untuk melaksanakannya sebanyak lapan rakaat ataupun dua puluh rakaat. Adapun khilaf antara keduanya bukanlah khilaf yang melibatkan benar atau batil tetapi khilaf yang mana yang lebih tepat berdasarkan hadis.
Sudut  perlaksanaannya pula kita amat dituntut untuk berjemaah meskipun ia ditetapkan pada zaman saidina Umar namun ia mempunyai asal di mana Nabi juga turut melaksanakan secara berjemaah. Namun akibat khuatir ia difardukan jadi nabi hanya melaksanakannya hanya beberapa kali berdasarkan maksud hadis yang diriwayat oleh Al-Bukhari oleh saidatina Aisyah. Bagaimanapun , jika dilaksanakan bersendirian tetap sah dan tidak menjadi masalah.
Dari sudut yang lain, nilai pahala sudah tentu ibadah wajib mendahului. Namun segalanya pada Allah juga untuk menilai kesempurnaan segala ibadah. Namun dari sudut martabat ketinggian seseorang itu di sisi Allah, ibadah sunat mendapat tempat kerana manusia dapat melaksanakan yang wajib atas sebab arahan namun untuk perkara yang sunat ia merupakan pilihan. Sebagai contoh manusia boleh berpuasa ramadhan kerana diwajibkan tetapi berapa ramai yang mampu puasa sunat pada hari lain tanpa arahan. Jadi adakah relevan jika  malam-malam kita berlalu pergi tanpa diisi?

Hati-Hati
Kelebihan tarawikh yang jelas adalah seperti hadis di atas iaitu pengampunan. Tambahan lagi, sifat Allah (ghaa faa raa) biasa diterjemahkan ke dalam bahasa melayu dengan maksud pengampunan. Namun, sifat ini lebih dari itu iaitu Allah menutup aib-aib kita di hadapan manusia lain. Bayangkan jika Allah buka setiap aib kita, nescaya tiada seorangpun dari kita yang mampu berjalan di atas muka bumi ini. Justeru, dalam keghairahan kita mempelajari tentang ibadah ini perlu diketahui bahawa terdapat hadis palsu mengenainya. Sebagai contoh kononnya diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a:
•          Malam Pertama: Keluar dosa-dosa mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
•          Malam Keempat: mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
•          Malam Keenam:  Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma’mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang  yang mengerjakan sembahyang tarawikh pada malam ini.
•          Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
•          Malam Kelapan:  Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih seperti mana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
•          Malam Kesembilan:  Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad saw.
•          Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke tiga puluh….

Ibadat atau Adat?
Kebiasaan pada permulaan malam ramadhan, kebanyakan masjid atau surau dibanjiri dengan lautan manusia. Namun bila tiba dipenghujung ramai yang alpa dek kesibukan bersedia untuk berhari raya. Sepatutnya bila tiba dipengakhiran harus kita lebih berlumba-lumba membuat pahala bukan sahaja kerana madrasah ramadhan akan pergi meninggalkan kita bahkan malam yang lebih baik dari seribu bulan juga dijanjikan pada ketika itu.
Dalam hal tarawikh lebih-lebih lagi, kerana tarawikh tidak terdapat dalam bulan-bulan islam yang lain. Oleh itu, perlu kita muhasabah semula adakah kita menjadikan ibadah tarawikh kita sebagai adat kerana kebanyakan manusia melakukannya atau menganggap ia sebagai ibadat yang perlu kita sempurnakan hingga keakhirnya. . Oleh itu, seharusnya kita mengekalkan atau lebih baik kita meningkatkan momentum keimanan kita dengan menggandakan ibadah kita dari hari ke hari hingga ramadhan melabuhkan tirainya.



No comments: