Bismillahirrahmanirrahim~
Di bawah ini merupakan satu kisah usrah. Ambillah iktibar darinya. InsyaAllah, moga kita mendapat sedikit kebaikan dan pengajaran darinya. :)
Apa yang membuatkan kami gembira dan berbunga? Usrah itu sebenarnya
"keluarga". Jujur sebelum ini tidak pernah saya ambil peduli. Usrah
untuk mereka yang alim-alim, untuk mereka yang solehah, sempurna,
bertudung labuh, bukan untuk saya.
Tidak pernah saya rasakan ukhwah di dalam keluarga usrah, tidak
pernah saya rasakan kejujuran bersahabat kerana Allah.Tidak pernah saya
sangka dengan izin Allah ianya memberi saya kekuatan untuk merubah serba
sedikit diri yang serba dhaif ini. Bagaimana? Dengan keprihatinan,
sokongan dan semangat ukhwah mengingatkan antara satu dengan lain
mengenai perkara-perkara baik dengan penuh kasih dan hikmah.
Dengan contoh dari naqibah, bagaimana akhlak, ilmu dan kehidupan
sehariannya disulami nilai-nilai Islam yang saya sangkakan sebelum ini
hanya mainan bibir para ilmuwan. "Mana mungkin boleh hidup dengan nilai
Islam sepenuhnya, di zaman ini" "Saya sudah bersolat 5 waktu, sudah
bertudung, sudahlah!" Silapnya saya. Jahilnya saya. Saya baru seorang
Muslim.
Belum saya fahami konsep Mu'min. TIdak saya sedar menjadi seorang
yang beriman adalah dengan menjadi seorang Muslim dan masuk ke dalam
agama Islam ini SEPENUHNYA.
BUkan setengah jalan, sekerat langkah dan separuh hati. Kerana
menjadi seorang Muslim itu mestilah dengan sepenuh hati, jiwa dan raga.
Segala niat DAN perbuatan perlu dizahirkan. Masih ada yang beranggap
'yang penting' niat? Memang niat itu penting, namun niat perlulah
disusuli dengan perbuatan.
Setiap manusia jalan hidupnya sudah tertulis, ada manusia hidayahnya
diberi Allah seawal usia. Faktor persekitaraan, pendidikan dan rahsia
dari Allah kadangkala tidak boleh kita persoalkan, segalanya ada sebab
musabab yang tersendiri.
Tersasarnya saya sewaktu remaja dahulu ada sebabnya. Kembalinya saya
sebagai seorang Muslim yang mahu beriman sepenuhnya juga bersebab. Sebab
itu mungkin tidak mampu pun untuk saya fahami. Walau saya cuba berfikir
mengenai segala hikmah disebalik kejadian dalam hidup saya.
Kata-kata naqibah saya yang cukup saya sayangi tersemat di hati.
"Tidak cukup menjadi seorang Muslim, kita mestilah menjadi seorang
Muslim yang beriman" katanya. "Tidak cukup beriman saja, namun kita
mesti beriman dan berilmu". "TIdak cukup kita menjadi Muslim beriman
yang berilmu, namun kita mesti beramal dengan ilmu itu". "Dan tidak
cukup kita beramal kita mesti ikhlas dalam segala amalan"
MasyaAllah. Sudahkah saya beriman,berilmu, beramal dan ikhlas? Sering
saya tanya pada diri. Belum, belum sepenuhnya. Kata naqibah – ikhlas
itu rahsia di antara Allah dan hambanya, malaikat pun tidak tahu. Dan
ikhlas adalah motivasi terbaik seorang Mu'min.
Orang-orang yang ikhlas jarang atau hampir tiada perasaan sesal,
kesal, mengeluh, sakit hati, murung, sedih.. kerana mereka... ya ,
Ikhlas! Ikhlaslah yang menjadi motivasi para Nabi, Rasul dan orang-orang
Soleh untuk terus melakukan kebaikan meskipun dicerca, disakiti dan
dihina.
Hanya 'kita', diri kita sendiri dapat rasakan ikhlas dalam hati, satu
perasaan sayu dan redha , satu perasaan yang membuatkan kita terhenti
dan terfikir tatkala kita melakukan sesuatu. "Semua ini kerana Mu Ya
Allah".
Segala yang kita lakukan didalam hidup ini mampu dijadikan ibadah,
setiap nafas yang dihirup, waktu tidur juga waktu jaga, waktu makan dan
waktu lapar, tatkala mandi meskipun kata-kata di FB misalnya. Semuanya
boleh dijadikan ibadah.
Ya, segala kebaikan yang ikhlas kerana Allah semuanya mampu dijadikan
ibadah. Tapi sayang, Ibadah dipandang begitu sempit sekali. Hanya
solat, puasa, zakat, Cuma di atas sejadah saja!
Setiap titipan dan nasihat naqibah dapat saya rasakan keikhlasannya.
Kerana tujuan usrah itu sendiri adalah untuk sama-sama tolong-menolong
antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam.
Sama-sama mengingatkan dan berpesan-pesan. Untuk meningkatkan ukhwah
dan kecintaan Islam. Di dalam Al-Quran selain surah Al-Asr 103:3 yang
mengingatkan supaya kita sentiasa saling mengingati dan berpesan kepada
kebenaran dengan sabar, Allah berfirman dalam surah Az-Zariyat 51:55,
bahawa peringatan itu amat perlu dan berguna bagi orang-orang Mu'min.
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesunghnya peringatan itu
bermanafaat bagi orang- orang mukmin"Maka, di dalam keluarga usrah ini,
kami mencari semangat untuk menjadi Mu'min yang lebih baik dengan saling
mengingatkan. Kali pertama saya hadir, (tak ramai pun yang hadir) saya
bertanya pada diri, apa yang bakal saya perolehi? Adakah perlu saya
laburkan 'masa' ini, dan bersusah susah ke sini.
Untuk apa? Objektif, motif, rasionalnya apa?. Aduh banyaknya
persoalan. Tamaknya kita dengan diri sendiri untuk memperbaiki diri.
Banyaknya alasan boleh diberi, sibuk, (semua orang sibuk, kadangkala
terasa seolah diri sendiri saja yang paling sibuk) ada hal, anak tiada
yang jaga.
Kemudian saya tersedar dari lamunan, Naqibah ini, iaitu guru saya
ini, sanggup datang kemari, walaupun dia jauh lebih sibuk, tanpa meminta
bayaran untuk mengajar dan memperbaiki diri kami, dan saya pula yang
mahu berkira dengan masa saya.
Sunguh tidak bersyukur! Berapa banyak peluang yang telah diberi kita
sia-siakan, memberi segunung tinggi alasan? Kehidupan dan kesibukan
dunia dijadikan alasan.
Tersenyum saya tatkla naqibah mengingatkan, dunia ini tak perlu orang
ingatkan! Memang kita sentiasa akan ingat! Kerana dunia ini sudah
dihadapan mata bukan? Akhirat itulah yang perlu diingatkan selalu.
Fitrahnya insan ini pelupa jahil dan lalai. Maka peringatan tentang akhirat ini amat wajar.
Risaulah jika hari silih berganti dan tiada langsung peringatan
diberi. Makanya usrah ini, antara salah satu medium dimana tatkala kami
bersila dalam bulatan gembira ini, akhirat dan hakikat penciptaan jin
dan manusia diulang kembali, lagi dan lagi.
Asas aqidah, tauhid, ibadah, sirah ,serta bertadabbur dengan Quran
benar-benar menyentuh jiwa.Peringatan untuk tidak berfikir buruk
mengenai orang lain, untuk memperbaiki amalan, memahami tujuan
penciptaan, berwaspada dengan tipuaan syaitan dan bersama di waktu susah
dan senang tidak mampu dijual beli dengan wang ringgit. Ukhwah yang terbina ini terlalu berharga. Berukhwah kerana Allah sepenuhnya, bukan sebab material atau dunia yang lain. Memang hakikat kehidupan dunia moden kapatilis ini, kita biasanya
meletakkan kepentingan diri dahulu. Kepentingan diri diambil kira
melebihi kepentingan orang lain.
Dunia moden amat kompetitif dan individualistik. Makanya saya hairan
bagaimana masih ada manusia yang sanggup "memberi" tanpa meminta balasan
kerana mencari keredhaan Allah. Ya, masih ramai insan begitu, cuma saya sahaja yang tidak tahu. Dan
semangat memberi itu kini sudah terpercik pada kami. Benarlah peringatan
yang senantiasa diberikan, kita pasti akan terpengaruh dengan rakan
kita, lihatlah dengan siapa kita berkawan. Maka di dalam keluarga usrah
ini, percikan minyak wangi akhirnya terkena pada diri kami semua.
Sipi-sipi sudah bau harumannya. Indah bukan?
Namun perubahan tidak terbina dengan sekelip mata. Bukan satu dua
sesi sudah berubah semuanya. Ada diantara ahli keluarga ini, pergi
meninggalkan kita dan tidak kembali lagi, (bukan meninggal dunia namun
tidak berminat lagi) ada yang datang sekali dua, namun yang tinggal
komited itulah telah ditakdirkan oleh Allah untuk bersama. Membuang
prasangka, memperbaiki diri dan membersihkan hati ini adalah satu proses
berterusan.
Usrah cuma batu loncatan. Ilmu selebihnya perlu dicari ditempat lain.
Namun di dalam bulatan keluarga usrah yang gembira ini, ianya
menyedarkan diri dimana kurangnya kita. Yang perlu membetulkan tajwid
pergi mengaji semula,yang sudah lama meninggalkan Quran mula membacanya
kembali, yang tudungnya singkat dilabuhkan ke dada, yang berfikir
mengenai diri sendiri sudah mula mahu memberi.
Fitrahnya kita semua mahu berbuat baik, dan kita semua mahu
menyembah. Jika tidak menyembah Allah maka kerana fitrah menyembah ini,
kita terdorong untuk menyembah sesuatu yang lain, iaitu harta, pangkat,
rupa, lelaki atau wanita, material mahupun diri sendiri! Kembali kepada
fitrah menyembah Allah ini adalah kebahagian sebenar dan hakiki.
Belum, saya masih jauh perjalanan. Belum, saya belum sempurna. Namun
saya mahu mencari kesempurnaan itu. Terima kasih Usrah dan keluarga
bulatan gembira ku! Terima kasih kerana mengingatkan! Quran kini dibawa
kemana saja saya pergi, saya mula membaca dan menghafal ayat Quran
kembali.
Saya cuba menyemadikan Quran di dalam jiwa ini. Antara tiga ayat
pertama yang saya hafal kembali yang memberi impak pada hidup saya dan
ingin saya kongsi:-
"Dan kehidupan di dunia ini hanyalah permainan
dan senda gurau. Dan negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya
sekiranya mereka mengetahui" (Quran 29:64)
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada ku" (Quran 51:56)
"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan
sabar dan solat. Dan solat itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang
yang khusyuk" (Quran 2:45)
Mari berusrahlah semua! Inilah dia bulatan gembira yang tidak boleh
dijual beli, hiburan hati yang sejati! Cari bulatan gembira anda juga
agar hati ini berbunga kembali. Usrah wajar dijadikan santapan mingguan
untuk rohani. Berbunga dengan minda dan jiwa yang lebih dekat dengan
Ilahi!
[sumber]
2 comments:
moga usrah MAMPU membentuk dan menjadikan satu wadah untuk kita mndekatkn dri kpdNya..ameen
insyaAllah & AMIN :)
Post a Comment