Perutusan YDP BADAM sempena Aidilfitri 1432 H

Pesanan Ikhlas Sempena Syawal 1432H


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. Lafaz mulia kita sama-sama tuturkan di pagi Syawal, membesarkan, memuji dan melahirkan rasa syukur atas nikmat kemenangan yang Allah kurniakan kepada hambaNya setelah melalui madrasah Ramadan. Begitu indah sekali Islam mengajar umatnya merayakan kemenangan, memulangkan kembali nikmat kemenangan itu kepada pemberi segala kemenangan, Allah yang Maha Pemberi Kemenangan.


Sesungguhnya Ramadhan yang berlalu menjadikan kita lebih unggul jati dirinya, lebih kuat untuk menempuhi ujian baki sebelas bulan yang mendatang. Hamba yang benar-benar beruntung dengan nikmat Ramadan yang lalu ialah mereka yang dimusnahkan segala dosanya yang lalu, laksana bayi kecil yang lahir ke dunia.Bersih peribadinya, tenang hatinya, baik budi pekertinya, tetap dan istiqamah dalam melakukan kebaikan dan kebajikan terhadap dirinya, keluarga, masyarakat dan negaranya. Maka, saya mendoakan seluruh warga IPG Kampus Dato` Razali Ismail khususnya semua guru pelatih sekalian agar digolongkan dalam golongan yang beruntung, kerana saya percaya kalian semua sudah berusaha sedaya mungkin memanfaatkan Ramadan kali ini, menjadi hamba yang paling taat kepada Pencipta Yang Agung.


Maka, seraya itu juga dititipkan kisah Ahzab ini dalam takbir raya kita, tanda ingatan kepada kita tentang perilaku kita merayakan Aidilfitri yang bakal menjelang. Pastikan kita meraikan lebaran dengan penuh kehambaan, kesederhanaan, kesyukuran dan saling menghubung dan merapatkan silaturrahim agar wujud kesatuan hati kita selaku umat Islam.



Dalam bulan Syawal ini mengingatkan kita kepada satu peristiwa besar yang berlaku kepada umat Islam di zaman Rasululullah di mana berlakunya perang Ahzab. Perang yang mengambil masa berbulan-bulan masanya, Baginda dan para sahabat menggali parit di seluruh kota Madinah, sewaktu masih berpuasa, ditambah dengan teriknya matahari dan dingin angin malam. Islam dikerah untuk berdepan tentera berkesekutu pakatan Quraisy dan Yahudi yang belot di Madinah. Tatkala keadaan cemas dan bimbang mendasari perasaan setiap penduduk Madinah ketika, Allah telah mengurniakan KEMENANGAN kepada umatnya yang sabar dengan turunnya tentera-tentera yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Dan Allah sendiri mengajar umat Islam ini dengan merayakan KEMENANGAN ini dengan penuh kesyukuran, kehambaan dan pujian terhadap Yang Maha Memberi Kemenangan.



Dalam suasana menyambut Hari Raya ini juga, adalah wajar ia disambut mengikut apa yang telah digariskan oleh syarak serta tidak dicemari dengan perkara-perkara yang dilarang. Saya menyeru kepada semua agar berusaha untuk memahami dan menghayati konsep hari raya yang sebenarnya. Sekiranya ia disambut di atas landasan agama, maka hari yang diraikan itu akan menjadi satu ibadah, tetapi jika ia disambut secara berlebihan, maka ditakuti ia akan menjadi dosa baru kepada kita setelah jiwa kita dibersihkan pada bulan Ramadhan. Rapatkanlah ukhuwah dengan jalinan silaturrahim, sebagai melengkapi tarbiyah ruhiyyah Ramadhan.



Pesanan khas saya kepada seluruh warga IPG Kampus Dato` Razali Ismail khususnya semua guru pelatih agar kita menjadikan Syawal ini satu titik mula cemerlang kita dalam akademik dan ibadah kita. Tekad kita sematkan semula, azam kita kuatkan kembali, ingin menjadi pelajar yang cemerlang, menjadi insan pendidik yang baik terhadap Tuhannya dan sesama Manusia iaitu generasi muda yang akan berada bawah tanggungjawab kita. Misi kita ialah membentuk insan yang seimbang tidak hanya ‘JERIS’nya tetapi turut seimbang dari segi DUNIA dan AKHIRAT. InsyaAllah sama-sama kita pasak kembali misi dan tujuan ini dalam diri kita semoga kita mampu melahirkan generasi yang berjaya seimbang dunia dan akhirat. Moga Allah bersama-sama dalam misi dan tujuan kita ini..InsyaAllah...





“ Selamat Hari Raya Aidilfitri “
Maaf Zahir & Batin...


Ikhlas daripada saya :
Mohamad Razif bin Mohamad Nawi
Exco Biro Agama Kerohanian dan Moral

1 comment:

محمد حذوان بن حميدان said...

Selamat hari raya ydp..bolehla buat rumah terbuka.(^_^)