Andai Ini Ramadhan Terakhirku

 
Gambar: DP yang direka khusus untuk bulan Ramadhan. 

"Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Sya'aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."

Seperti Si Gila Majnun yang menanti-nanti rombongan Puteri Laila melalui lorong cintanya. Begitulah juga seorang mukmin sejati pasti sentiasa menanti-nanti kedatangan bulan yang dicintai. 

Seperti yang dimaklumkan di kaca televisyen, seluruh umat Islam akan mula berpuasa pada 29 Jun 2014 (Ahad) dan ini bererti solat terawikh akan bermula pada malam Ahad selepas solat Isyak.

Esok, pasti Balai Islam Al-Muttaqin (BIAM) akan bergema dengan laungan selawat yang mengiringi solat terawikh. Seperti tahun-tahun yang lalu, bilangan rakaat yang akan dikerjakan ialah sebanyak lapan rakaat, seterusnya disusuli dengan solat witir. 

Sungguh, suatu perkara yang dinanti-nantikan. Suasana kunjungan Muslimin yang lengkap berbaju Melayu, berjubah, malah ada yang berserban, juga Muslimat dengan pakaian solatnya berpusu-pusu ke BIAM untuk mengerjakan ibadat solat terawikh secara berjemaah; pasti suasananya amat meriah. 

Marilah kita tingkatkan doa agar Allah memberi kita peluang untuk bertemu Ramadhan nanti. Dan juga, agar kita diberikan-Nya kekuatan untuk menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang bulan yang mulia itu.

Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan & Forum Khas Ihya' Ramadhan: Antara Aku dan Ramadhan


Alhamdulillah, sepertimana tahun-tahun yang lalu, Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Majlis tersebut yang turut diisi dengan Forum Khas Ihya' Ramadhan berjudul Antara Aku dan Ramadhan telah berjaya memberi pendedahan awal kepada para pendengar berkenaan Ramadhan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sedar tidak sedar, hari ini sudah masuk 25 Syaaban 1435 Hijrah dan ini bermakna beberapa hari lagi kita bakal menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak.

Seelok-eloknya, sebelum kita memasuki bulan yang penuh mulia ini, kita hendaklah memastikan diri kita lengkap dengan ilmu fiqh tentang puasa pada bulan Ramadhan, yang mungkin ada antara kita yang sudah tahu tapi terlupa atau mungkin kita ingat, namun, kita masih belum melaksanakan seperti yang sepatutnya. Tidak lupa juga, kita hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu fadhilat bulan Ramadhan agar diri memiliki keyakinan terhadap janji-janji Allah yang disediakan pada bulan ini. Dan supaya diri sentiasa berlumba-lumba untuk meningkatkan amal pada bulan yang amalan sunatnya digandakan seperti amalan fardhu dan amalan fardhu digandakan dengan 70 kali ganda.

Marilah kita sama-sama menanam azam untuk mencuba sehabis upaya bagi menjadikan bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang lalu dengan sentiasa memikirkan,

"Andai Ini Ramadhan Terakhirku"